23.10.12

Isu mengenai latihan kontraktor IBS


Pada masa kini, penggunaan kaedah IBS dalam industri pembinaan di Malaysia semakin berkembang dan digunakan secara meluas oleh pihak kerajaan dan swasta. Walau bagaimanapun, untuk mewujudkan industri IBS yang moden, kompetatif dan menawarkan kualiti kepada pengguna, kontraktor yang melaksanakan projek IBS perlu mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas dan mencukupi. Daripada rekod, sebanyak 683 kontraktor berdaftar dengan CIDB di bawah pengkhususan IBS (B01, B02, B19, B22 dan B23). Kontraktor perlu menunjukkan bukti kerja dan menjalani latihan intensif IBS sebelum boleh disenaraikan di bawah pengkhususan ini.
Daripada keseluruhan kontraktor yang berdaftar dan telah menjalani latihan yang dianjurkan oleh CIDB, secara purata dan perkiraan sampel, hanya 22% daripada kontraktor ini telah menyertai tawaran tender projek IBS dan 9% kontraktor telah melaksanakan projek IBS. Jumlah ini dilihat terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kontraktor yang berdaftar. Majoriti kontraktor terlibat dalam kerja – kerja pemasangan kekuda bumbung keluli sahaja iaitu kerja – kerja yang biasa terdapat dalam projek pembinaan sama ada projek itu menggunakan kaedah IBS ataupun konvensional.
Dari sudut keberkesanan modul latihan, 85% kontraktor yang menghadiri latihan berpuas hati dengan keseluruhan program latihan iaitu dari segi keberkesanan modul, kepakaran tenaga pengajar dan kemudahan tempat latihan.
Modul latihan kontraktor ini perlu ditambah baik dari masa ke semasa dengan memasukkan isu semasa seperti teknologi hijau, lean construction, Just in Time, mechanisation, robotik dan isu kritikal seperti pengurusan kewangan dan pengurusan projek lanjutan. Modul latihan berbentuk lawatan ke tapak – tapak projek IBS dan kilang – kilang pengeluaran IBS juga penting untuk dimasukkan ke dalam modul. Terdapat juga cadangan untuk mengadakan program attachment di kilang-kilang untuk memahirkan kontraktor dengan sistem IBS syarikat pengeluar tersebut. Pihak CIDB boleh menjadi fasilitator kepada program ini.
Antara cadangan – cadangan lain untuk menggalakkan penglibatan kontraktor – kontraktor dalam projek - projek IBS adalah:
Menyediakan pelan induk bersepadu jangka masa panjang khusus mengenai pembangunan kontraktor IBS di Malaysia
Menyediakan standard pelan perniagaan untuk kontraktor IBS.
Mewujudkan program akreditasi kontraktor yang lebih baik mengikut model – model yang dijalankan di negara maju.
Mengenalpasti segmen pasaran yang spesifik kepada kontraktor dalam IBS berdasarkan gred G1 – G7 dan tahap kemampuan kontraktor; Kontraktor G1 sehingga G3 – Kerja – kerja pemasangan komponen dan kerja pengubahsuaian, Kontraktor G4 sehingga G5 – Kerja – kerja pemasangan, pembuatan komponen kecil – kecilan (non – critical) dan komponen standard seperti di dalam  katalog IBS dan Kontraktor G6 sehingga G7 – Kerja – kerja pemasangan dan pembuatan (menjadi one – stop centre IBS.)
Menambahbaik modul latihan kontraktor dari masa ke semasa dengan memasukkan isu semasa seperti teknologi hijau, lean construction, Just in Time, mechanisation, robotic dan isu kritikal seperti pengurusan kewangan, pengurusan risiko, Dispute Resolution and Mediation, supply chain dan pengurusan projek lanjutan.
Mensyaratkan kontraktor menjalani penilaian Quality Assessment System in Construction (QLASSIC) dan Safety and Health Assessment System in Construction (SHASSIC) bagi projek – projek yang telah dijalankan dan menggalakkan kontraktor mendapatkan pensijilan ISO 9001.
Mewujudkan status kontraktor pakar IBS untuk menjadi penanda aras kepada kontraktor – kontraktor lain.
Memperkasakan peranan Pusat IBS dalam isu pembangunan kontraktor.
Menggalakkan kontraktor – kontraktor  menjadi pengilang kecil – kecilan IBS mengikut katalog IBS dengan bantuan Majlis Amamanah Rakyat (MARA).
Menggalakkan penubuhan konsortium kontraktor seperti yang dijalankan di Kesatuan Eropah (EU) melalui program ManuBuild.
Mengadakan program grooming and coaching kepada kontraktor kecil IBS.
Mengadakan program Benchmarking IBS untuk menanda aras prestasi kontraktor IBS di Malaysia seperti yang dijalankan di negara – negara maju melalui program offsite construction. 

No comments: