10.10.11

Kajian Mengenai Kontraktor IBS yang Berdaftar dengan CIDB

Penyataan Masalah

Untuk mewujudkan industri IBS yang moden, kompetatif dan menawarkan kualiti kepada pengguna, kontraktor yang melaksanakan projek IBS perlu mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas dan mencukupi.

Untuk mengatasi masalah ini, CIDB telah mewujudkan satu sistem pendaftaran dan pembangunan kontraktor IBS

Status Semasa

Daripada rekod, sebanyak 683 kontraktor berdaftar dengan CIDB di bawah pengkhususan IBS (B01, B02, B19, B22 dan B23). Kontraktor perlu menunjukkan bukti kerja dan menjalani latihan intensif IBS sebelum boleh disenaraikan di bawah pengkhususan ini.

Pengkhususan kontraktor B02 merupakan pengkhususan yang paling tinggi bilangan kontraktor berdaftar iaitu sebanyak 586 syarikat diikuti B01 (Sistem Konkrit Pra Tuang) seramai 77 syarikat dan B19 (Sistem Acuan) sebanyak 15 syarikat. Pengkhususan B22 (Sistem Blok) mempunyai 3 syarikat berdaftar dan pengkhususan B22 (Sistem Kerangka Kayu) mempunyai 2 syarikat berdaftar setakat September 2011

Jumlah kontraktor pengkhususan IBS adalah hanya 683 daripada sebanyak 61,087 kontraktor aktif di Malaysia (September 2011). Ini hanya merangkumi 1.1% dari jumlah keseluruhan kontraktor di Malaysia. Untuk melaksanakan proses transformasi industri pembinaan kepada IBS, lebih banyak kontraktor perlu didaftarkan dan dilatih sebagai kontraktor mahir dalam IBS.

Gred G7 mempunyai jumlah paling ramai kontraktor yang berdaftar bagi pengkhususan IBS iaitu sebanyak 372 syarikat diikuti oleh G3 dan G5 masing- masing dengan 95 dan 61 syarikat. G1 dan G2 mempunyai 50 dan 29 syarikat yang berdaftar.

Majoriti iaitu 544 kontraktor berdaftar sebagai pemasang sistem kerangka keluli (B02). Kontraktor ini hanya terlibat dalam kerja – kerja pemasangan kekuda bumbung keluli sahaja iaitu kerja – kerja yang biasa terdapat dalam projek pembinaan sama ada pembinaan itu menggunakan IBS ataupun konvensional.

Hanya 107 kontraktor didaftarkan sebagai kontraktor pengkhususan B01 iaitu untuk pemasangan konkrit pra-tuang walaupun kaedah ini adalah yang paling kerap digunakan dalam projek – projek kerajaan dan menyumbang kepada skor IBS. Jumlah kontraktor yang terlatih ini terlalu kecil berbanding dengan projek – projek IBS yang dijalankan.

Penyertaan Kontraktor dalam Projek IBS

Daripada keseluruhan kontraktor yang berdaftar dan telah menjalani latihan yang dianjurkan oleh CIDB, secara purata dan perkiraan sampel, hanya 22% daripada kontraktor ini telah menyertai tawaran tender projek IBS dan 9% kontraktor telah melaksanakan projek IBS.

Jumlah ini dilihat terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kontraktor yang berdaftar.

Majoriti kontraktor terlibat dalam kerja – kerja pemasangan kekuda bumbung keluli sahaja iaitu kerja – kerja yang biasa terdapat dalam projek pembinaan sama ada projek itu menggunakan kaedah IBS ataupun konvensional.

Kurangnya penglibatan kontraktor ini menunjukkan bahawa latihan sahaja tidak mencukupi untuk membantu kontraktor. Kebanyakan kontraktor memerlukan bimbingan berbentuk perundingan melalui program – program bersepadu serta insentif yang lebih baik dari pihak kerajaan.

Modul Latihan CIDB

Dari sudut keberkesanan modul latihan yang disediakan oleh CIDB, 85% kontraktor yang menghadiri latihan berpuas hati dengan keseluruhan program latihan iaitu dari segi keberkesanan modul, kepakaran tenaga pengajar dan kemudahan tempat latihan.

Modul latihan kontraktor ini perlu ditambah baik dari masa ke semasa dengan memasukkan isu semasa seperti teknologi hijau, lean construction, Just in Time, mechanisation, robotik dan isu kritikal seperti pengurusan kewangan, Dispute Resolution and Mediation dan pengurusan projek lanjutan.

Modul latihan juga boleh dirombak dari model awareness-based learning kepada model competency – based learning.

Modul latihan berbentuk lawatan ke tapak – tapak projek IBS dan kilang – kilang pengeluaran IBS juga penting untuk dimasukkan ke dalam modul. Terdapat juga cadangan untuk mengadakan program attachment di kilang-kilang untuk memahirkan kontraktor dengan sistem IBS syarikat pengeluar tersebut. Pihak CIDB boleh menjadi fasilitator kepada program ini.

Critical Success Factors

Faktor utama yang menyebabkan kurangnya kontraktor melaksanakan projek IBS tidak hanya terletak kepada kemampuan (capability) kontraktor dan faktor kos semata - mata, tetapi bergantung juga kepada strategi perniagaan, pengurusan sumber manusia yang tepat dan pengurusan proses – proses yang terlibat dalam projek IBS.

Dapat dirumuskan bahawa IBS perlu diuruskan secara holistik dan memerlukan pengawasan keseluruhan bermula dari proses rekabentuk, pembuatan dan pemasangan di tapak. Penambahbaikan dari segi pengurusan projek, pengurusan kos, sumber manusia, dan aplikasi teknologi maklumat dilihat sangat penting kepada kontraktor IBS.

Model Perniagaan Kontraktor

Menjadi pengeluar komponen IBS kecil – kecilan, terutamanya bagi memenuhi keperluan projek sendiri. Kontraktor boleh mengeluarkan standard komponen – komponen mengikut katalog yang dikeluarkan oleh Pusat IBS.

Menjadi kontraktor pakar IBS dalam pemasangan sistem – sistem tertentu (B01, B02, B19, B22 dan B23) dan juga menyediakan perkhidmatan kepakaran nilai tambah seperti pakar dalam aplikasi komputer (Building Information Modelling), pengangkutan, sewaan, penyelenggaraan, pengurusan fasiliti dan pengurusan tapak projek IBS.

Terus kekal sebagai pemasang komponen IBS tetapi mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menceburi trade pengubahsuaian (renovation, refurbishment and retrofitting) kepada bangunan – bangunan IBS.

Cadangan

Pada masa kini program khusus pembangunan kontraktor IBS dijalankan secara ad-hoc. Kursus latihan dan pendaftaran kontraktor dijalankan oleh Bahagian Pembangunan Kontraktor, CIDB manakala program pembangunan yang lain dijalankan oleh Pusat IBS. Terdapat juga program-program untuk kontraktor – kontraktor Bumiputra dijalankan oleh MARA dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Ini mengakibatkan kurangnya koordinasi dan integrasi dalam pelaksanaan program – program ini. Kajian ini mencadangkan agar pihak CIDB dapat menyediakan pelan induk bersepadu jangka masa panjang khusus untuk pembangunan kontraktor IBS di Malaysia. Pelan induk ini akan menjadi blueprint kepada pembangunan kontraktor dan menyokong isi kandungan IBS Roadmap 2011 – 2015. Antara kandungan pelan induk ini adalah isu-isu, halatuju dan teras strategik pembangunan kontraktor IBS menjelang tahun 2020.

Memperkasakan peranan Pusat IBS dalam pembangunan kontraktor. Pusat IBS boleh memperbaiki dan mempertingkatkan peranannya sebagai pusat untuk membantu kontraktor ini dalam perniagaan dengan menyediakan khidmat nasihat. Pada masa ini, Pusat IBS hanya memberikan penekanan kepada pengilang IBS. Adalah wajar Pusat IBS turut menjadi titik pusat kepada kontraktor sebagai pelaksana IBS untuk merujuk kepada permasalahan terutamanya dalam hal- hal pembiayaan dan pinjaman untuk melaksanakan projek IBS. Pusat IBS boleh memainkan peranan sebagai orang tengah dalam membantu kontraktor dalam bagi kertas kerja dan membantu kontraktor untuk mendapatkan pinjaman dari institusi perbankan atau agensi kerajaan. Pengwujudan cawangan Pusat IBS mengikut zon juga dicadangkan untuk dilaksanakan.

Insentif yang lebih baik seperti pelepasan cukai, duti ke atas jenteran dan kemudahan pinjaman perlu ditawarkan/disediakan oleh kerajaan. Pemilihan untuk kemudahan insentif yang tepat adalah sangat penting untuk mengelakkan penyalahgunaan dan kebergantungan kepada insentif secara berterusan. Insentif harus diberikan kepada sistem IBS yang memberi tambah nilai yang tinggi seperti penggunaan mesin-mesin moden, aplikasi robotik atau automasi dan penghasilan komponen modular.

Menyediakan standard pelan perniagaan untuk kontraktor IBS kepada kontraktor – kontraktor sederhana dan kecil. Pelan pernigaan ini mengandungi maklumat kajian awal, maklumat pasaran, modal dan langkah – langkah yang harus dilakukan untuk meneruskan kelangsungan perniagaan kontraktor – kontraktor ini. Pelan perniagaan ini sedang dibangunkan oleh pihak Construction Research Institute of Malaysia (CREAM).

Mengadakan program Benchmarking IBS Contractor yang membolehkan kontraktor membuat penanda aras kepada kebolehan dan prestasi semasa berbanding amalan terbaik industri. Pihak CIDB boleh mewujudkan sistem ranking kepada kontraktor yang mempunyai pengalaman dan pengurusan yang terbaik berbanding standard industri. Ini akan mengiktiraf kontraktor yang menjalankan amalan terbaik IBS. Program ini boleh dibantu dengan kutipan skor kepuasan pelanggan. Skor ini perlu dikutip dan diterbitkan oleh Pusat IBS untuk rujukan pemaju. Program Benchmarking IBS Contractor ini sudahpun siap dibangunkan oleh pihak CREAM dan boleh digunakan oleh pihak CIDB.

Mewujudkan program akreditasi dan pendaftaran kontraktor yang lebih baik mengikut model – model yang dijalankan di negara maju. Program ini akan memastikan hanya kontraktor yang berkemampuan akan ditauliahkan dengan sijil perakuan kontraktor IBS dimasukkan ke dalam senarai kontraktor IBS. Mengikut model Buildoffsite di United Kingdom (UK), kontraktor yang layak tersenarai akan diberi pengesahan bagi jaminan risiko (dalam bentuk bon cagaran) oleh pihak ketiga (dalam kes ini Lyold Register) untuk melaksanakan projek IBS. Ini akan meningkatkan kepercayaan pemaju kepada kontraktor untuk menjalankan projek IBS dan memberi kelebihan kepada kontraktor untuk membida sebarang projek IBS. Pihak CIDB juga boleh mengeluarkan surat sokongan perakuan kepada kontraktor – kontraktor berwibawa ini sebagai sokongan untuk mendapatkan pinjaman kewangan dari pihak bank.

Menambahbaik modul latihan kontraktor dengan menyelesaikan isu – isu semasa seperti:

· Teknologi hijau,
· Lean construction,
· Just in Time,
· Mechanisation,
· Robotik,
· Pengurusan kewangan,
· Dispute Resolution and Mediation,
· Pengurusan risiko,
· Supply chain,
· Pengurusan projek lanjutan.

Modul latihan berbentuk lawatan ke tapak – tapak projek IBS dan kilang – kilang pengeluaran IBS. Terdapat juga cadangan untuk mengadakan program attachment di kilang-kilang untuk memahirkan kontraktor dengan sistem IBS syarikat pengeluar tersebut. Pihak CIDB boleh menjadi fasilitator kepada program ini.

CIDB juga dicadangkan untuk merombak model latihan sekarang daripada awareness-based learning kepada competency - based learning. Model latihan untuk pengurus binaan bertauliah menggunakan model competency -based learning telah dimajukan oleh CREAM dan UiTM. Model ini boleh digunapakai dan disesuaika dengan memasukkan input – input IBS.

Mewujudkan status kontraktor pakar IBS untuk menjadi penanda aras kepada kontraktor – kontraktor lain. Kontraktor ini terdiri daripada kontraktor G7 yang mempunyai kepakaran khusus dalam IBS untuk terlibat dalam seluruh proses daripada rekabentuk, pembuatan dan pemasangan. Kontraktor ini akan terlibat dalam keseluruhan rantaian projek IBS dan seringkali menjadi one-stop centre dalam IBS. Contoh kontraktor yang mungkin layak dikategorikan sebagai kontraktor pakar IBS ini adalah Global Globe Sdn. Bhd., HeCon Sdn. Bhd. dan Sunway Construction Bhd. dan pemenang – pemenang anugerah IBS di dalam Malaysian Construction Industry Excellence Award (MCIEA). Kontraktor pakar IBS ini akan mejadi showcase kepada amalan baik IBS dan menjadi penanda aras kepada kontraktor yang lain. Kontraktor ini akan menggalakkan kontraktor kecil dan sederhana dan pengilang menjadi vendor di bawah sistem payung. CIDB melalui Pusat IBS boleh membantu kontraktor pakar IBS ini dengan menggalakkan kontraktor ini menceburi IBS yang berteknologi tinggi seperi mechanisation, automation, robotik dan mengeluarkan rumah teknologi modular.

Mengenalpasti segmen pasaran yang spesifik kepada kontraktor dalam IBS berdasarkan gred G1 – G7 dan tahap kemampuan kontraktor:

Kontraktor G1 sehingga G3 akan terlibat dalam kerja – kerja pemasangan komponen dan kerja pengubahsuaian.

Kontraktor G4 sehingga G5 akan terlibat dalam kerja – kerja pemasangan, pembuatan komponen kecil – kecilan (non – critical) dan standard komponen seperti di dalam katalog IBS.

Kontraktor G6 sehingga G7 akan terlibat dalam kerja – kerja pemasangan dan pembuatan dan menjadi one – stop centre IBS.

Seperti yang dicadangkan di atas, bagi kontraktor gred G4 dan ke atas, kontraktor ini harus digalakkan untuk menjadi pengilang kecil – kecilan IBS mengikut katalog IBS dengan bantuan agensi – agensi kerajaan seperti MARA. Kontraktor ini boleh mengeluarkan komponen untuk projek mereka sendiri dan projek – projek lain. Kaedah konsortium digalakkan supaya kontraktor dapat mengeluarkan komponen tertentu sahaja dan dapat membeli secara pukal dari ahli - ahli konsortium yang lain. Walau bagaimanapun, kontraktor gred G1 – G3 masih lagi tidak sesuai untuk menjadi pengilang IBS.

CIDB perlu mewujudkan dan menggalakkan kewujudan kluster ataupun konsortium IBS seperti program ManuBuild di Eropah yang menggabungkan pelbagai kepakaran dan penyelesaian bersepadu yang akan meningkatkan kemampuan dan kebolehan kontraktor IBS.

Mensyaratkan kontraktor menjalani penilaian QLASSIC dan SHASSIC bagi projek – projek yang telah dijalankan dan mendapatkan pensijilan ISO 9001. Pengiktirafan QLASSIC, SHASSIC dan ISO 9001 akan memastikan kontraktor IBS menjalankan kerja – kerja yang terbaik. Ini bagi meningkatkan kepercayaan pemaju ataupun kontraktor utama untuk mengambil kontraktor yang didaftarkan pengkhususan IBS sahaja untuk menjalankan kerja – kerja IBS.

Mengadakan program grooming and coaching kepada kontraktor kecil IBS yang terpilih. Bilangan yang dicadangkan adalah seramai 40 kontraktor. Kontraktor ini boleh dibantu dalam penyediaan pelan perniagaan dan maklumat - maklumat yang lain berkaitan perniagaan kontraktor. Kontraktor ini juga boleh dibantu dengan mewujudkan business matching bersama pemain – pemain industri yang lain.

No comments: