30.9.10

Kajian Status Terkini Perkerja Asing di Tapak Binaan 2010

By CREAM and CIDB

Berikut adalah kajian status terkini pekerja asing di tapak binaan 2010. Telah disiapkan dalam bentuk draf pada 29 September. Sebahagian kajian telah dihatar kepada KSU KKR. Hasil laporan ini akan disentuh oleh YB Menteri Kerja Raya dalam satu keyataan akhbar pada 2 October 2010.

Industri Pembinaan telah mencatatkan pertumbuhan yang meberangsangkan pada kempat–empat suku tahunan kewangan pada tahun 2009 dan suku pertama 2010. Ia berkembang pada kadar 5.8peratus (5.8%) pada keseluruhan tahun 2009 dan sebanyak 8.7 peratus (8.7%) pada suku pertama 2010 berbanding kadar pertumbuhan GDP sebanyak 10 peratus (10%) pada suku yang sama. Di dalam unjuran Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), industry pembinaan dijangka berkembang pada kadar 3.7 peratus (3.7%) setahun dari tahun 2011 sehingga 2015 berbanding sasaran pencapaian GDP sebanyak 6% setahun di dalam tempoh yang sama.

Di samping itu, industri pembinaan bakal memainkan peranan yang penting di dalam Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP). Industri ini akan menjadi pemangkin kearah pencapaian 12 National Key Economic Area (NKEA) melalui pembangunan infastruktur dan bangunan. Industri ini akan mendapat manfaat dari pelaksanaan projek-projek berprofil tinggi dan projek projek mega seperti yang digariskan didalam ETP seperti projek Mass Rapid Transit (MRT), 1Malaysia Financial District, Matrade Centre di Jalan Duta dan projek pembangunan hartanah bercampur di Sungai Besi dan Sungai Buloh.

Walaubagaimanapun, industri pembinaan tempatan dilihat masih menggunakan kaedah ‘conventional’ yang memerlukan tenaga buruh yang ramai. Oleh kerana tenaga kerja tempatan kurang berminat untuk menceburkan diri di dalam industri ini kerana persepsi “dirty, dangerous, difficult and dusty”, negara telah selama ini bergantung sepenuhnya kepada warga asing. Tidak dinafikan peranan pekerja asing ini penting untuk mengimbangi kos pembinaan yang meningkat, namun kebergantungan menyeluruh dan lambakan pekerja asing akan mengakibatkan aliran keluar matawang, penurunan prestasi produktiviti dan menggagu keseimbangan sosial dan ekonomi negara. Jika perkara ini tidak ditangani dengan segera, isu pekerja asing di dalam sektor pembinaan ini akan menjadi penghalang kepada hasrat negara kearah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan di dalam masa yang sama menarik lebih ramai rakyat tempatan untuk menceburi industri pembinaan.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan satu kajian terkini mengenai status terkini bilangan pekerja asing dan tempatan dan mencadangkan hala tuju kerajaan untuk menangani masalah ini. Kajian ini hanya meliputi pekerja-pekerja di tapak bina termasuk pekerja mahir, separa mahir dan tidak mahir. Hasil kajian ini adalah didapati, pekerja asing menyumbang kepada 52 peratus (52%) kepada jumlah tenaga kerja di dalam industri pembinaan di tapak bina, manakala selebihnya 48 peratus (48%) adalah pekerja tempatan.

Daripada jumlah peratusan pekerja asing ini, 59 peratus (59%) pekerja binaan adalah warga Indonesia dan 13 peratus (13%) adalah warga Bangladesh. Manakala baki 28 peratus (28%) adalah dari lain-lain negara seperti Nepal, Myanmar, India, Vietnam dan Sri Lanka.

Melalui kajian ini lagi, lebih ramai pekerja asing digunakan di dalam projek – projek swasta dan persendirian berbanding dengan projek-projek di bawah tender kerajaan. Ini adalah kerana kebanyakan projek-projek kerajaan telah menggunakan Industrialised Building Sytems (IBS) sebagai teknik pembinaan.

Kajian ini juga mendedahkan, pekerja warga asing lebih digunakan di dalam kerja buruh dan manual di tapak bina seperti kerja kayu (98%), kerja besi (91%), pelepaan (64%), kerja batu-bata (63%) dan kerja konkrit (61%). Pekerja warga asing juga dilihat jarang digunakan di dalam kerja-kerja berkemahiran tinggi seperti crane operator dan kerja eletrikal.

Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Kedah menunjukkan peratusan pengambilan pekerja asing yang lebih tinggi berbanding pekerja tempatan di tapak pembinaan. Manakala, Sarawak, Kelantan, dan Terengganu menunjukkan peratusan pengambilan pekerja tempatan yang lebih tinggi berbanding pekerja asing.

Terdapat pengurangan penglibatan pekerja asing bagi negeri Selangor dan Kuala Lumpur berbanding dengan data pada tahun 2007. Ini boleh dikaitkan dengan perlaksanaan projek-projek berasaskan Industrialised Building Systems (IBS) kebanyakannya dijalankan di negeri-negeri tesebut. Mengikut data yang dikeluarkan oleh Implimentation Coordination Unit (ICU) Jabatan Perdana Menteri, terdapat sebanyak 331 projek IBS telah dijalankan bagi projek kerajaan seluruh negara. Selangor mencatatkan sebanyak 111 projek IBS dan diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 44 projek kerajaan menggunakan IBS. Kedua-dua negeri ini merupakan dua negeri terbanyak mempunyai projek-projek kerajaan menggunakan IBS.

Cadangan pengurangan pekerja asing adalah seperti berikut; pekerja asing lebih banyak berkecimpung di dalam tred-tred yang memerlukan kemahiran yang sederhana seperti kerja-kerja melepa, kerja batu-bata dan kerja-kerja kayu. Langkah kerajaan untuk mempekenalkan penggunaan Industrialised Building Systems (IBS) dilihat sangat bertepatan. IBS menggunakan teknologi berinovasi dan memindahkan sebahagian besar kerja manual pembinaan ke kilang. Pengenalan IBS juga akan mengubah imej “dirty, dangerous, difficult and dusty” industri pembinaan ke arah imej yang lebih baik. Penggunaan teknologi terkini melalui IBS akan memerlukan tenaga kerja yang mahir dan dibayar setimpal. Ini akan menggalakkan warga tempatan untuk menceburi industri ini selain menyumbang kepada hasrat kerajaan untuk menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Walaubagaimanapun, pengenalan IBS di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Syarikat-syarikat pengilangan komponen yang besar perlu memainkan peranan yang lebih efektif di dalam menyediakan rantaian “supply-chain” yang lebih baik melalui kaedah payung. Kontraktor kelas G7 juga disaran untuk melabur di dalam sistem yang lebih baik yang menggabungkan penggunaan robotik dan automation. Justeru itu, kerajaan perlu menjadi fasiltator dalam hal ini dalam membantu pelaburan sektor swasta. Polisi yang tepat penting untuk merancakkan industri IBS ini supaya maju ke hadapan.

Selain daripada itu, CIDB akan memantap, menyelaras dan memperkasa Akedemi Binaan Malaysia (ABM). ABM dan pendidikan vokasional yang lain perlu diselaraskan dengan amalan pendidikan di negara-negara maju. Di samping itu, pelajar-pelajar dari sekolah rendah dan menengah perlu didedahkan dengan situasi dan persekitaran kerja industri pembinaan sejak di bangku sekolah lagi. Penubuhan “kelab pembinaan” di sekolah-sekolah perlu digalakkan dan mendapat sokongan penuh dari Kementerian Pelajaran. Laluan kerja atau “career path” untuk industri ini perlu dicarta dengan jelas dan memaklumkan kepada pelajar di bangku sekolah lagi. Kisah kejayaan individu di dalam industri ini dari peringkat bawah sehingga menjadi usahawan perlu didokumentasikan dan disiar di media massa. Sehubungan dengan itu, langkah efektif perlu direncana, diperkemas dan diseragamkan.

Kemahiran pekerja binaan di tapak bina akan dinilai dan diperakukan bagi mereka yang lulus ujian untuk memastikan kualiti dan mutu kerja ditapak bina menepati piawaian dan standard yang ditetapkan. Penekanan akan diberikan kepada 13 tred yang ditetapkan iaitu Penerapan Bata, Kerja Konkrit, Kerja Acuan Kayu Pelepaan, Membengkok Besi, Kerja Cat, Kerja Paip Dalam Bangunan, Kerja Pemasangan Kelengkapan Kebersihan, Pemasangan Pendawaian Bangunan, Pemasangan Drywall, Kerja Paip Rektikulasi, Pemasangan Jubin, Pemasangan Kerangka Bumbung IBS. Bagi pekerja binaan asing sedia ada yang telah pun berkhidmat di negara ini selama 5 tahun, kerajaan telah menetapkan hanya mereka yang telah lulus proses akreditasi kemahiran oleh CIDB dibenarkan untuk terus bekerja di negara ini. Sekiranya mereka gagal, permit kerja mereka tidak akan dilanjutkan. Bagi personel binaan tempatan pula program akreditasi ini adalah untuk mengiktiraf kemahiran mereka di samping menyediakan laluan kerjaya kepada mereka ke arah mewujudkan golongan berpendapatan tinggi.

Menguatkuasakan peruntukan pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran yang tinggi dan tidak menarik minat pekerja tempatan kepada pekerja asing. Ini bermakna pekerja asing hanya dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pekerjaan am binaan dan bidang-bidang ‘wet trade’ seperti kerja-kerja acuan, pembengkokan besi, konkrit, pelepaan, penjubinan, penerapan batu bata dan lain-lain tred yang kurang diminati oleh rakyat tempatan.

Menguatkuasakan peruntukan pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan bependapatan tinggi serta diminati oleh pekerja tempatan dikhususkan hanya kepada pekerja tempatan sahaja. Tred-tred adalah seperti pendawaian elektrik, kimpalan, operator kren, kerja-kerja perancah, kerja-kerja penyeliaan dan pengurusan pembinaan.

Menetapkan Syarat Dan Prosidur Pengambilan Pekerja Asing Dalam Sektor Pembinaan Bagi Permohonan 100 Orang Dan Kebawah Melalui CLAB. Melalui syarat ini sepertimana yang telah diputuskan oleh JKK-PA semua permohonan pekerja asing kurang daripada 100 orang mestilah diuruskan oleh CLAB. (CLAB adalah sebuah syarikat tidak berasaskan keuntungan dan ditubuhkan pada tahun 2003 di bawah subsidari CIDB)

Kesimpulan; Kerajaan sedar bahawa isu pekerja asing adalah sesuatu yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Pekerja asing masih releven dengan situasi semasa industri pembinaan tetapi bilangannya perlu dikurangkan ke kadar yang lebih minima. Industri pembinaan juga perlu fokus dalam penyediaan tenaga kerja yang benar-benar mahir dan berkebolehan untuk terus menyumbang kepada negara. Industri pembinaan perlu menumpukan usaha untuk menjadi lebih inovatif dengan memperkaya nilai tambah dan menggunakan teknologi terkini selaras dengan hasrat untuk menjadi industri berteraskan pengetahuan. Usaha kearah melahirkan negara berpendapatan tinggi akan terjejas jika industri pembinaan terus bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja warga asing.

Akreditasi pekerja binaan industri pembinaan tempatan dan asing akan dilaksanakan dengan lebih tegas untuk memastikan tahap dan mutu kerja di tapak bina mencapai piawaian yang ditetapkan. Ini juga akan menjadikan pekerjaan sebagai pekerja binaan ini lebih kompetitif ke arah melahirkan pekerja berpendapatan tinggi (High Income Worker).

Komitmen yang jitu dan polisi yang tepat oleh kerajaan diperlukan dalam menangani isu ini. Penglibatan dari sektor swasta juga dilihat sangat kritikal. Sektor swasta boleh terlibat secara terus di dalam menyediakan peluang-peluang latihan, melaksanakan program printis dan juga menawarkan gaji yang setimpal dengan produktiviti dan kemahiran. Paling penting, sektor swasta perlu melunaskan tanggungjawab sosial dalam mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding warga asing.

2 comments:

Anonymous said...

"Syarikat-syarikat pengilangan komponen yang besar perlu memainkan peranan yang lebih efektif di dalam menyediakan rantaian “supply-chain” yang lebih baik melalui kaedah payung. Kontraktor kelas G7 juga disaran untuk melabur di dalam sistem yang lebih baik yang menggabungkan penggunaan robotik dan automation. Justeru itu, kerajaan perlu menjadi fasiltator dalam hal ini dalam membantu pelaburan sektor swasta. "

merujuk kepada kenyataan saudara seperti di atas, saya meminta agar dapatlah saudara huraikan dengan lebih lanjut tentang:-
1. kaedah payung
2. Apa peranan yg perlu dimainkan oleh pengeluar komponen IBS
3. Penglibatan/pelaburan kontraktor G7 dalam bentuk yg bagaimana

terima kasih saudara

-nik ahmad azlan-
kcnaa2003@yahoo.com

Sunbae said...

Salam Dr,

Saya merupakan pelajar UUM (Jurutera Awam di JKR) sedang mengikuti Sarjana Sains Pengurusan dan bercadang untuk mengkaji keberkesanan penggunaan IBS dalam penggurangan sindrom 3D (dirty, difficult, dangerous) dalam projek pembinaan JKR. Ingin bertanyakan Dr sekiranya CREAM sebelum ini telah ada kajian/research yang telah dibuat berhubung dengan perkara tersebut. Juga ingin mendapatkan persetujukan Dr untuk menggunakan / cited penyataan yang dinyatakan oleh Dr dalam kertas tesis saya nanti. Saya akan berhubung dengan Dr untuk maklumat lanjut.